Apakah
yang dimaksudkan dengan barangan tiruan?
Barangan
tiruan merupakan produk yang sama seperti produk yang asli tetapi bukan asli.
Rupa barangan tiruan tidak berbeza dengan produk asli dan sukar untuk kita
membezakan yang mana tiruan dan yang mana asli. Barangan tiruan biasanya
terdapat pada produk harian yang selalu kita gunakan seperti pakaian, barangan
elektronik, makanan, ubat-ubatan, kosmetik dan lain-lain lagi. Antara sedar
ataupun tidak sedar, barangan yang kita gunakan setiap hari merupakan produk
tiruan!
Mengapakah
barangan tiruan dihasilkan?
Permintaan
yang tinggi terhadap sesuatu produk itu menjadi sebab utama barangan tiruan
dihasilkan dan dipasarkan secara berleluasa. Kos penghasilan barangan tiruan
yang rendah berbanding kos yang digunakan untuk menghasilkan produk yang asli
juga menyebabkan barangan tiruan mudah dihasilkan. Barangan tiruan ini juga
dipasarkan dengan harga yang jauh lebih rendah daripada barangan yang asli dan
ini menarik minat pengguna untuk memilih barangan tiruan.
Kelebihan
barangan tiruan
Barangan
tiruan adalah sangat murah. Pengguna yang tidak mampu membeli produk yang mahal
akan memilih barangan tiruan asalkan hasrat mereka untuk bergaya dengan jenama
mahal tercapai.
Kekurangan
barangan tiruan
Kualiti
produk tiruan adalah kurang berbanding produk yang asli. Tempoh penggunaan
barangan tiruan adalah tidak lama dan mudah rosak. Produk yang asli juga boleh
rosak tetapi jika dibandingkan dengan yang tiruan produk yang asli jauh lebih
tahan berbanding tiruan. Walaupun produk tiruan murah namun kepuasan pelanggan
selama menggunakan produk tersebut tidak sama seperti menggunakan produk yang
asli.
Keburukan
penggunaan barangan tiruan
Barangan
tiruan boleh menjejaskan kesihatan pengguna misalnya dengan pengambilan produk
kosmetik tiruan, ubat-ubatan tiruan, dan makanan sampingan yang tiruan.
Ada juga
syarikat yang mengambil kesempatan menjual produk tiruan dengan harga yang sama
seperti produk yang asli contohnya telefon bimbit. Pelanggan hanya sedar yang
dia tertipu apabila terdapat aplikasi yang tidak berfungsi seperti yang
diharapkan. Ini tentunya akan merugikan pelanggan dan mendatangkan masalah
kepada syarikat yang menjual produk tiruan tersebut apabila pelanggan membuat
aduan.
Apabila
barangan tiruan menjadi pilihan pelanggan, nilai jenama yang mahal akan menurun
kerana sesiapapun boleh mengenakan pakaian atau aksesori yang berjenama mahal.
Ini akan mendatangkan kerugian kepada syarikat pengeluar utama jenama tersebut
kerana produk mereka tidak menjadi pilihan pelanggan.
Bagaimana cara-cara untuk
mengenalpasti barangan tiruan?
1) Langkah pertama yang harus dilakukan oleh pengguna untuk
mengenalpasti barangan tiruan ialah dapatkan maklumat mengenai barangan asli.
Maklumat boleh didapati melalui internet, majalah, surat khabar, televisyen dan
lain-lain media masa. Maklumat juga boleh didapati daripada rakan-rakan dan
pengalaman sendiri dalam menggunakan produk asli.
Antara maklumat yang diselidiki
ialah:
· Pengeluar utama – Barangan tiruan adalah produk yang dihasilkan
oleh syarikat bukan pengeluar utama dan tidak mendapat kebenaran dari syarikat
pengeluar utama untuk berbuat demikian. Untuk mengenapasti barangan asli,
perkara pertama yang harus diketahui ialah siapakah pengeluar utama sesuatu
produk tersebut.
· Harga – Pastikan berapa harga produk asli yang ditawarkan oleh
syarikat pengeluar utama.
· Label – Pastikan bagaimana label sesuatu produk yang asli.
Biasanya label barangan tiruan adalah hampir sama dengan yang asli tetapi masih
terdapat kecacatan di label produk tiruan yang kita tidak sedari.
· Ciri-ciri – Ketahui apakah ciri-ciri produk asli yang kita ingin
selidiki seperti fungsi produk itu dan hasil yang pengguna perolehi setelah
menggunakan produk tersebut. Contohnya telefon pintar seperti Blackberry
mempunyai applikasi BBM(Blackberry Messanger) dan boleh berhubung dengan
pengguna Blackberry yang lain.
2) Mendapat maklumat dan mendengar
daripada orang lain mengenai produk asli tidak mencukupi. Langkah kedua yang
perlu dilakukan ialah dengan melihat sendiri bagaimanakah produk asli tersebut
dengan pergi ke tempat pusat membeli belah atau di mana-mana tempat yang
menjual produk yang ingin kita selidiki.
3) Kemudian barulah buat perbandingan berdasarkan maklumat yang telah
diperolehi mengenai produk tersebut. Misalnya harga produk tersebut ialah RM
300 tetapi yang kita lihat dipasaran ialah RM100 atau lebih rendah. Jika
berlaku demikian kita hendaklah berfikir sama ada produk itu benar-benar asli
yang diturunkan harga ataupun ia adalah produk tiruan.
Tidak mampu beli barangan
original?
Apa yang
perlu dibuat? Tunggulah masa ada promosi. Pelanggan boleh mendapat potongan
harga dari 10% hingga 70%! Dan ini terpulang kepada sesebuah syarikat yang
menjual produk asli tersebut berapa sahaja potongan harga yang mereka tawarkan.
Membeli produk asli semasa ada promosi membolehkan pelanggan mendapatkan
barangan dengan kualiti yang bermutu tinggi dan tahan lama dengan harga yang murah. Membeli barangan
tiruan yang mudah rosak kemudian beli lagi yang baru dan beli lagi, silap-silap
lebih banyak wang yang digunakan berbanding beli yang asli!
Peranan
pengguna
Kita
sebagai pengguna haruslah bijak dalam mengenalpasti barangan yang asli ataupun
tiruan. Ketelitian membaca label sebelum membeli produk seperti produk makanan,
kosmetik dan ubat-ubatan adalah sangat penting bagi mengelakkan kesan buruk
yang boleh berlaku terhadap kesihatan.
Apabila kita
sebagai pelanggan mendapati peniaga yang menjual barangan tiruan lebih-lebih
lagi barangan yang boleh memudaratkan kesihatan, pengguna hendaklah segera
membuat aduan kepada pihak berkuasa dan jangan ambil tindakan tidak ambil
peduli. Ini kerana apabila pelanggan tidak kisah bermakna pelanggan menyokong
penjualan barangan tiruan dan mengalakkan penjual untuk menjual barangan tiruan
ini.
Kecenderungan
pelanggan membeli barangan tiruan mendatangkan impak negatif kepada ekonomi
negara. Menjadi pengguna yang bijak dan lestari adalah untuk kebaikan diri
sendiri dan masyarakat yang lain.